TIPS PEMAKAIAN TUDUNG MENGIKUT BENTUK MUKA.
Mungkin ada pernah mencuba memakai sesuatu tudung kerana terpengaruh dengan kecantikan pemakai yang dilihat sama ada di televisyen, rakan-rakan ataupun sesiapa yang ditemui di luar.
Anda pun pergi membeli tudung tersebut dan mencubanya, malangnya hasilnya tidaklah seperti yang anda harapkan. Anda mungkin tertanya-tanya mengapa ini terjadi sedangkan apabila si dia atau si polan memakainya ia kelihatan cantik dan menarik? Tetapi aku tidak. Hmmm… pelik bukan?
Artikel ini akan membawa anda mengenali bentuk muka dan tips-tips yang perlu dalam menggayakan tudung anda. Mari mengenali bentuk-bentuk muka yang berbeza dan tudung- tudung yang bersesuaian dengannya.
1. Bentuk Muka Bujur
Bagi wanita yang mempunyai bentuk muka seperti ini, anda sememangnya bertuah kerana mampu menggayakan hampir kesemua fesyen tudung. Tidak kiralah selendang, tudung bawal, tudung syria ataupun tudung awning, semuanya akan kelihatan cantik apabila anda pakai. Bentuk muka ini bercirikan jarak rahang, pelipis, tinggi kening dan panjang dagu yang seimbang. Sekiranya anda adalah salah seorang yang memiliki bentuk wajah seperti ini, jangan lepaskan anugerah berharga ini untuk bergaya dengan fesyen tudung terkini!
2. Bentuk Muka Bulat
Wanita yang mempunyai bentuk muka ini dicirikan dengan jarak dahi ke dagu adalah sama dengan jarak kedua pelipis, dan juga tulang rahang yang ‘tertimbun’ di bahagian pipi. Ataupun dengan lebih mudah adalah mereka yang tembam ataupun berisi di pipi. Sekiranya anda mempunyai bentuk wajah seperti ini, terdapat beberapa tips untuk memakai tudung yang sesuai iaitu:
- Jika anda lebih gemar memakai tudung awning, pastikan potongan tepinya tidak melepasi tulang pipi. Ini adalah untuk mengelakkan daripada wajah anda tertutup. Selain itu, pastikan jahitan awning tersebut panjang sehingga menghampiri tulang pipi. Jika anda memilih awning yang pendek, ia akan menonjolkan pipi anda yang tembam. Ingat tu!
- Apabila anda memilih untuk memakai selendang, gunakan cekak yang lembut sebelum memakai anak tudung. Pilihlah anak tudung yang diperbuat daripada bahan yang lebih anjal untuk membantu mengurangkan visual ukuran kepala.
- Selendang yang nipis juga digalakkan agar ukuran kepala tidak terlalu kelihatan. Pastikan selendang tidak dililit dengan terlalu ketat untuk mengelakkan bentuk wajah anda yang bulat kelihatan lebih jelas.
- Agar wajah kelihatan bujur, pakai selendang dengan sedikit longgar dan lipat di bahagian bawah tudung berdekatan dengan tulang pipi. Bentukkan juga sedikit bahagian atas selendang agar ia tidak melekap pada dahi anda.
3. Bentuk Muka Panjang
Sama seperti wanita dengan bentuk muka bujur, bentuk muka yang panjang juga turut menjadi idaman dan pilihan wanita. Ia dicirikan dengan bahagian dagu yang panjang. Jika anda mempunyai bentuk muka seperti ini dan bijak dalam menggayakan tudung yang dipakai, mungkin orang lain akan menyangka anda memiliki bentuk muka yang bujur. Tips utamanya adalah dengan memfokuskan kepada bahagian atas tudung.
- Gunakan tudung atau jenis anak tudung yang melekap di dahi agar bahagian tersebut tidak kelihatan terlalu luas. Ia juga merupakan pilihan tepat untuk menutup sedikit bahagian kening yang tinggi.
- Usah tutup bahagian pipi anda kerana bahagian ini adalah sangat penting untuk membuat ilusi wajah anda tidak kelihatan terlalu panjang. Pastikan anda menarik sedikit tudung ke belakang, rapat di bawah rahang pipi dan tonjolkan rahang pipi agar bentuk wajah sebenar anda tersembunyi.
- Jika anda ingin memilih fesyen tudung yang sesuai, selendang adalah lebih ideal berbanding tudung awning. Anda juga bebas memakai jenis selendang yang anda inginkan mengikut gaya idaman anda.
4. Bentuk Muka Segi Tiga / Bentuk Hati
Ciri utama wanita dengan bentuk wajah seperti ini adalah dagu yang panjang dan jarak pelipis yang lebih lebar dibandingkan dengan pangkal rahang. Sekiranya anda mempunyai bentuk muka seperti ini, ikuti tips berikut agar tudung yang dikenakan kelihatan lebih menarik dan sekaligus menjadikan diri anda kelihatan lebih menawan.
Antara tips-tips yang perlu diketahui adalah:
- Pilih tudung yang boleh ditarik sebanyak mungkin ke belakang dan bertemu di bahagian leher agar untuk menyerlahkan lagi bahagian rahang anda.
- Sebelum memakai anak tudung, gunakan cekak rambut untuk membolehkan kening anda terangkat.
- Gunakan anak tudung seperti net supaya bahagian kosong di sebelah kiri dan kanan anda kelihatan lebih terisi.
- Anda boleh memakai selendang namun pastikan pemakaian selendang tersebut dapat menutupi kekurangan bentuk wajah anda. Hanya ikuti tips-tips ini dan anda sudah bersedia untuk tampil menawan!
- Gaya selendang yang sangat bersesuaian dengan wanita berbentuk wajah seperti ini adalah gaya pintalan dan gaya sanggul kerana ia dapat membuat rahang kelihatan lebih terbuka.
5. Bentuk Muka Petak
Mereka dengan bentuk wajah petak boleh dilihat pada pangkal rahang dan tulang rahang yang lebar dan kawasan dagu yang kelihatan rata. Sekiranya anda tergolong dalam bentuk wajah seperti ini, fokus utama apabila memakai tudung adalah untuk menyembunyikan bahagian rahang yang menonjol itu.
Mari lihat tips-tips memakai tudung untuk bentuk muka ini:
- Gunakan anak tudung untuk memperoleh kesan bentuk wajah yang nampak panjang.
- Jika ingin memakai selendang, pastikan anda bijak menggayakannya. Gunakan selendang bersama inner neck yang mempunyai lapisan menutupi bahagian bawah dagu.
- Pilih gaya selendang dengan fokus utama kepada lilitan dan yang dapat menutupi bahagian rahang.
- Elakkan gaya ikatan Bienda atau gaya ikatan di belakang tengkuk kerana ini akan lebih mempamerkan bahagian rahang yang lebar.
- Elakkan juga gaya selendang yang mempamerkan bahagian dahi yang luas seperti gaya Turban.
- Tudung awning juga bersesuaian dengan bentuk muka ini.
Pengetahuan untuk mengenali bentuk muka serta gaya dan jenis tudung yang bersesuaian amatlah penting. Sekiranya anda mengenali bentuk muka dan bijak memilih jenis tudung yang bersesuaian, sudah pasti penampilan harian anda kelihatan lebih menarik dan cantik. Malah, kesan positif seperti tahap keyakinan juga pasti akan meningkat. Anda juga akan kekal ceria, yakin dan bersemangat sebagai seorang fesyenista Muslimah.
Diharap tips-tips pada artikel ini dapat membantu anda tampil bergaya dan menawan dengan setiap fesyen tudung idaman anda. Kenali bentuk wajah dan gayakan fesyen hijab dambaan anda.
SELAMAT MENCUBA